Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan pendidikan yang disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi(pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.
Di Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.
Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua tahun maksimum mengikut keperluan murid.
Bilangan murid pendidikan khas rendah dan menengah di seluruh Malaysia adalah seramai 2912, manakala guru pula ialah seramai 630. Terdapat sebanyak 28 buah sekolah rendah, iaitu lima(kanak-kanak buta), dan 23 (kanak-kanak pekak). Manakala bagi sekolah menengah rendah pula, terdapat tiga buah sekolah pendidikan khas iaitu, satu (kanak-kanak buta) dan tiga (kanak-kanak pekak). Bilangan murid pendidikan khas integrasi pula adalah seramai 11 961, manakala gurunya pula adalah seramai 2587 orang.
Pendidikan Khas ialah program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid khas, termasuk penggunaan bahan khas, peralatan khas, teknik p & p mengikut tahap kebolehan & keupayaan pelajar:-
- Perkembangan mental
- Kestabilan emosi
- Integrasi sosial
KANAK-KANAK KHAS
Merupakan kanak-kanak yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami masalah yang mengganggu proses pembelajaran.
“……… Kanak-kanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa (1) dalam ciri-ciri mental (2) keupayaan-keupayaan deria (3) dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal (4) dalam tingkahlaku sosial atau emosi (5) dalam keupayaan komunikasi atau (6) dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai, atau perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas , supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum ”.
Kirk, S.A. et.al. “Educating Exceptional Children”, 1993
Apa Dia kanak-kanak Khas ?
………… “Kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi tidak mencapai pertumbuhan-pertumbuhan biasa hingga mereka tidak dapat faedah sepenuhnya dari rancangan sekolah biasa “.
Chua Tee Tee, 1981
Apa Dia Pendidikan Khas ?
……… Pengajaran yang bercorak individu direka untuk memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan Khas yang menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum yang baku atau biasa atau perkhidmatan-perkhidmatan sekolah biasa “.
PROGRAM PENDIDIKAN KHAS
Program pendidikan khas di Malaysia dilaksanakan melalui:-
- Sekolah Khas
- Progam pendidikan Khas Integrasi (pengasingan/inklusif)
- Pemulihan Khas
- Program Disleksia
- Pendidikan Vokasional sekolah khas/integrasi(teknik/Vokasional)
KATEGORI PENDIDIKAN KHAS
Kanak-kanak yang berada dalam program Pendidikan khas adalah mereka yang menghadapi masalah untuk belajar di dalam aliran biasa. Terdapat tiga aliran :
- Masalah Pembelajaran
- Masalah Pendengaran
- Masalah Penglihatan
Falsafah Pendidikan Khas
Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
KEJAYAAN ORANG-ORANG ISTIMEWA
Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita tersendiri. Jika diberi peluang pastinya mereka dapat meneroka dan memperkembangkan minat masing-masing. Dengan minat yang ada, sudah tentunya ia akan membuahkan hasil dan menampakkan kejayaan. Ini sudah pastinya meningkatkan motivasi dan kepercayaan diri dalam diri individu.
Mungkin anda sebagai ibu bapa mempunyai impian melihat anak –anak anda menjadi pilot, doktor, peguam dan menjawat jawatan yang tinggi. Persoalannya apakah jawatan tersebut sesuai dengan kemampuan anak anda yang mempunyai sifat-sifat yang terbatas? Namun begitu, anda seharusnya tidak berputus asa kerana meskipun mereka dilahirkan dengan keadaan yang tidak sempurna, mereka masih dapat mengecap nikmat kehidupan dengan gembiranya. Apa yang penting, kepuasan dalam bidang yang diceburi mengikut minat masing-masing.
Meskipun golongan istimewa mempunyai kebolehan yang terbatas, ibu bapa seharusnya memberi kepercayaan dan galakan kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Dengan pendidikan dan latihan yang sepatutnya, orang-orang istimewa mampu beroleh kejayaan. Sejarah telah membuktikan, golongan istimewa juga mampu melakukan tugas seperti orang lain malah kadangkala lebih baik lagi!